Hidup ini adalah warna-warni yang terlakar pada kanvas, walaupun tidak cantik ia tetap mempunyai sejuta makna...

suka blog ini?

Friday, April 6, 2012

Kebaikan Mandi Malam

Terdapat banyak salah faham tentang isu mandi di waktu malam kerana ramai orang berpendapat ia lebih banyak mudarat daripada kebaikan termasuk mendatangkan penyakit.

ADAKAH ia satu mitos tentang mandi pada waktu malam boleh mendatangkan kemudaratan pada kesihatan?  Adakah benar persepsi tentang tabiat mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit kronik?  Apa kata pakar dalam penjagaan kesihatan tentang isu ini?


Sebenarnya, mandi memainkan peranan penting dalam mempertingkat sistem imun badan selain mengelak berlakunya penyakit kulit seperti ekzema dan masalah kesihatan lain. Kajian menunjukkan yang mandi bukan sahaja boleh membersihkan badan daripada kotoran tetapi juga boleh menghilangkan stres. Mandi dengan air hangat boleh mengurangkan sakit otot dan membantu usus berfungsi dengan baik. Tapi kalau anda sedang mengalami stres, mandi dengan air sejuk boleh membantu.

Air mandian suam boleh membuka liang-liang roma badan dan membantu menghilangkan toksin. Kebanyakan penyakit kronik antaranya diabetes, hipertensi, kegagalan buah pinggang dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan sistem dalam badan, cara pemakanan dan gaya hidup kita. Tiada bukti yang mengatakan mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit-penyakit ini. Negara Malaysia ini mempunyai iklim tropika di mana cuacanya adalah panas dan lembab dan oleh itu mandi malam tidak mendatangkan kemudaratan. Lainlah kalau anda menghidapi pneumonia dan tinggal di negara yang mempunyai iklim musim sejuk.

Mandi malam adalah baik kerana ia membersihkan badan daripada bakteria dan virus. Amalan mandi adalah penting bagi gaya hidup sihat. Kegagalan mandi yang cukup sebenarnya boleh mendatangkan penyakit kulit dan juga bau badan. Bakteria boleh bertindak pada peluh dan ini membangkitkan bau badan. Mandi memberikan kesegaran serta membuatkan badan lebih sihat, sekaligus membersihkan bakteria daripada permukaan kulit. Pembersihan kulit berlaku bila kita mandi. Lebih baik lagi jika kita menggunakan sabun antibakteria. Menurut pengamal homeopati itu lagi, mandi adalah satu amalan semula jadi bagi memberi regangan kepada minda dan badan. Seseorang itu bukan hanya dapat tidur lena tetapi juga tidur dengan lebih lama jika beliau mandi sebelum tidur.

Ramai yang tidak punya masa untuk mandi secukupnya kerana jadual kerja yang agak ketat. Ramai yang  keluar bekerja pada awal-awal pagi lagi dan hanya pulang ke rumah pada lewat malam. Ini menyebabkan mereka malas mandi kerana menyimpan tenaga untuk aktiviti pada esok harinya. Ini tidak baik bagi kesihatan dan boleh mengundang pelbagai penyakit yang mengganggu kehidupan kita. Setelah bekerja sehari suntuk, otak dan badan anda perlukan rehat. Mandi pada malam hari (sebelum tidur) boleh membantu mengembalikan ketahanan fizikal dan emosi. Mandi juga membuatkan anda dapat tidur dengan lena dan membantu mengurangkan insomnia (susah untuk tidur).